Wednesday, September 24, 2008

Laporan Temubual Bersama Penghuni Pusat Serenti Wanita Bachok, Kelantan


TARIKH : 24 OGOS 2008

MASA : 1.00 - 2.00 PETANG

TEMPAT : KANTIN PUSAT SERENTI WANITA BACHOK



Pada 24 Ogos 2008 yang lalu, serombongan pelajar SPADA sesi Julai 2008 telah mengunjungi Pusat Serenti Wanita bertempat di Bachok, Kelantan. Tujuan lawatan kami ke sana ialah untuk menimba seberapa banyak ilmu yang boleh diperolehi bagi menangani masalah dadah di samping menerokai dan mengenali sendiri persekitaran suasana di pusat serenti. Pusat Serenti di Bachok ini adalah sangat istimewa kerana inilah satu-satunya pusat serenti khas untuk wanita di Malaysia.

Selain daripada meninjau prasarana yang ada di dalam pusat serenti tersebut, kami juga diberi sedikit taklimat mengenai kaedah rawatan dan pemulihan di situ oleh Ketua Unit Bimbingan dan Kaunseling iaitu Encik Azman. Kaedah-kaedah yang digunakan adalah sama dengan lain-lain pusat serenti yang ada di seluruh Malaysia iaitu dengan menerapkan 10 elemen yang berikut:
1. orientasi
2. rawatan kesihatan
3. fizikal dan disiplin
4. Bimbingan dan Kaunseling
5. Agama dan Moral
6. Latihan kemahiran
7. Pendidikan Sivik dan Tatanegara
8. Sukan dan riadah
9. Pendidikan formal
10. Integrasi semula ke dalam masyarakat.
Setelah dibawa melihat persekitaran di dalam Pusat Serenti tersebut kami juga diberi peluang untuk menemubual dan beramah mesra dengan penghuni di situ. Setiap seorang daripada pelajar SPADA telah berpeluang bertemu ramah secara seorang dengan seorang di kalangan penghuni di situ dan ini juga merupakan satu tugasan yang perlu disiapkan oleh kami sebagai pelajar SPADA.

Saya telah dipertemukan dengan Jamaliah binti Johari (nama samaran). Beliau baru berusia 21 tahun dan berasal dari Desa Tasik Permaisuri, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Jamaliah adalah anak bongsu dari 7 beradik. Masih mempunyai ibu dan ayah. Begitu juga dengan adik beradik yang lain.

Berdasarkan ceritanya, Jamaliah mengakui telah mula terjebak dengan masalah penagihan dadah sejak berusia 15 tahun lagi iaitu pada tahun 2004. Namun beliau telah mula mengenali dadah lebih awal dari itu iaitu sewaktu beliau berada di dalam Tingkatan 1 lagi. Ini adalah kerana abangnya yang sulung adalah penagih tegar. Beliau sering melihat abangnya menghisap dadah di dalam bilik di rumah mereka.

Pada awalnya Jamaliah tidak menghiraukan langsung tabiat abangnya yang menghisap dadah sehinggalah pada satu hari beliau mendapat tahu bahawa dirinya bukan anak kandung kepada ibu dan ayahnya sekarang. Jamaliah merasa amat kecewa dan marah kerana ibu bapanya tidak menceritakan hal yang sebenar. Puas ditanya dan dipujuk namun ibunya tetap menafikannya. Namun beliau akhirnya mendapat penjelasan yang jitu tentang status dirinya dari kakaknya yang telah menceritakan hal sebenar kepadanya.

Memandangkan prestasi persekolahannya yang kian merosot, Jamaliah telah mengambil keputusan untuk berhenti sekolah sehingga Tingkatan 3 sahaja. Bertitik tolak dari situlah Jamaliah telah berjinak-jinak dengan dadah kerana beliau merasa amat tertekan dengan status dirinya yang hanya anak angkat kepada kedua ibu bapanya sekarang. Beliau mengambil langkah nekad untuk mencuba dadah yang sememangnya ada di dalam bilik abangnya.

Bermula saat itu, Jamaliah semakin khayal dengan dunianya. Beliau mendapat wang untuk membeli dadah dari wang saku yang diberi oleh ibunya. Menurut Jamaliah lagi, kawasan persekitaran tempat tinggal yang mereka duduki adalah sarang penagihan dan pengedaran dadah. Untuk mendapatkan ’bekalan’ tidak menjadi masalah kepadanya kerana dia boleh membeli dadah jenis heroin dengan harga serendah RM10 sekali hisap. Sekiranya ada wang lebih, beliau sanggup membeli sehingga RM100 dan menghabiskannya dalam tempoh sehari saja.

Jamaliah juga memberitahu bahawa beliau berasa kesal dan kecewa kerana kedua orang tuanya begitu sibuk di luar. Ibunya sangat aktif dalam persatuan politik di tempat tinggal mereka manakala ayahnya pula adalah seorang usahawan yang agak berjaya. Berdasarkan keterangannya, keluarganya boleh dikatakan dari kalangan orang senang. Namun Jamaliah sering ditinggalkan berseorangan di rumah dan hanya dibekalkan dengan wang saku untuk kegunaan seharian. Lantaran itu untuk menghilangkan kebosanan dan perasaan kecewanya, beliau nekad mengambil dadah.

Kegiatannya menghisap dadah akhirnya terbongkar apabila Jamaliah sendiri nekad menceritakan masalahnya kepada ibunya kerana tidak tahan lagi menghadapi saat-saat ’ketagihan’ dan gian yang melampau. Pada awalnya ibu beliau memang agak terkejut dan marah dengan apa yang terjadi tetapi akhirnya bersepakat seisi keluarga untuk membantu Jamaliah. Akhirnya ibunya telah membawa Jamaliah ke balai polis yang berhampiran dan Jamaliah akhirnya telah ditempatkan di Pusat Serenti Bachok buat pertama kalinya pada 31.12.2004 dengan dihantar sendiri oleh kedua orang tua angkatnya.

Dari 31.12.2004 hingga 2006, Jamaliah telah selamat menjalani rawatan dan pemulihan di Pusat Serenti ini dan kembali ke pangkuan keluarga angkatnya yang telah dianggap sebagai keluarga sendiri kerana sehingga saat ini beliau sendiri tidak tahu siapakah ibu dan bapanya yang sebenar. Namun menurut Jamaliah, beliau sekali lagi terjebak dengan masalah penagihan dadah kerana ’konco-konco’ yang mengedar dadah sering memujuknya untuk kembali menagih. Seperti yang diberitahu sejak awal tadi, kerana merasa bosan dan keseorangan beliau akhirnya tewas dengan pujukan mereka hanya selepas dua bulan kembali ke pangkuan keluarga. Namun kali ini beliau sedar akan kesilapannya. Untuk mengelakkan masalah berterusan, beliau nekad pergi sendiri secara sukarela ke Pusat Serenti Bachok ini dengan menaiki bas berseorangan. Beliau sekali lagi menjalani rutin hidup sebagai penghuni pusat serenti dari Februari 2006 hingga 2008.

Sekembalinya ke pangkuan keluarga, Jamaliah merasa tidak betah berada di rumah. Beliau akhirnya mengambil keputusan untuk terus berada di Pusat Serenti Bachok. Jamaliah akui masih belum bersedia sepenuhnya untuk berada di dunia luar dan pada bulan Julai 2008 selepas lima bulan kembali kepangkuan keluarga, beliau kini merasa lebih selamat berada di dalam Pusat Serenti ini dan ini merupakan kali ketiga beliau dimasukkan ke sini.

Menurut Jamaliah, beliau masih lemah untuk berhadapan dengan masyarakat. Meskipun diberi didikan agama yang mencukupi namun perhatian dari kedua ibu bapa adalah amat penting. Saya juga ada bertanyakan pada Jamaliah adakah beliau tahu tentang hukum mengambil dadah dari sudut agama Islam dan Jamaliah mengakui ianya adalah haram di sisi Islam. Jamaliah juga bukanlah seorang yang tidak tahu langsung mengenai agama Islam. Beliau ada juga mengerjakan solat lima waktu namun apabila beliau dihimpit perasaan bosan, kecewa, marah dan tertekan akhirnya beliau melupakan tentang solat. Begitu juga dengan solat-solat sunat, Jamaliah akui pernah mengerjakannya. Sama juga dengan amalan-amalan yang lain seperti puasa dan sebagainya. Namun semua itu tidak dilakukan apabila mula terlibat dengan dadah sehinggalah beliau menghayati semula ajaran Islam di Pusat Serenti ini. Kini Jamaliah berazam untuk benar-benar berubah dan tidak mahu terlibat lagi dengan dadah. Saya juga dapati Jamaliah kini sudah mula insaf kerana beliau didapati sudah bertudung dan boleh membaca surah Al-Fatehah dengan betul sebagai pembuka bicara dan surah Al-Asri di akhir perbualan kami.

Apa yang dapat saya simpulkan di sini ialah, kembali ke pangkuan agama adalah jalan yang sebaik-baiknya untuk kita benar-benar berubah menuju ke jalan yang diredaiNya. Sebagai manusia biasa, Jamaliah tidak dapat lari dari melakukan kesilapan demi kesilapan dalam hidupnya. Tapi syukur alhamdulilah, walaupun banyak kali melakukan kesilapan, Jamaliah akui wujudnya kasih sayang keluarga meskipun hanya berstatus anak angkat, di samping didikan dan pengetahuan agama Islam yang diterapkan oleh kedua ibu bapanya adalah penting untuk beliau kembali ke pangkal jalan. Saya berpendapat bahawa disebabkan pendidikan dan pengetahuan agama Islam yang diterapkan oleh kedua ibu bapanya itulah yang sebenarnya telah menyebabkan Jamaliah cepat sedar akan kesilapannya dan tidak menunggu masa yang lama untuk mendapatkan pertolongan dan rawatan. Semoga Jamaliah akan terus kuat dan tabah dalam menghadapi ujian dari Allah s.w.t ini. Amin.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home